SENTUHAN SENI BINA UTM SERI DINAMIKA SKTMR; PROJEK MURAL ‘WORLD ARCHITECTURE DAY 2025’ TINGGALKAN IMPAK VISUAL

SKUDAI, 9 DISEMBER – Wajah Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini (SKTMR) kini tampil lebih ceria dan artistik menerusi penganjuran Projek Mural Sempena ‘World Architecture Day 2025’. Program yang berlangsung hari ini merupakan inisiatif besar hasil kerjasama strategik antara Fakulti Seni Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Panitia Pendidikan Seni Visual (PSV) SKTMR.

Projek yang bermula seawal jam 7:00 pagi hingga 5:00 petang ini mendapat sokongan penuh daripada syarikat Harvest selaku penaja utama. Kehadiran seramai 23 orang mahasiswa Tahun 2 dari Fakulti Seni Bina UTM telah memberikan nafas baharu kepada dinding sekolah melalui lakaran kreatif yang bertemakan elemen seni bina dan keindahan visual.

Apa yang menarik, seramai enam orang murid berbakat dari SKTMR turut dipilih untuk terlibat secara langsung dalam proses penghasilan mural ini. Mereka ialah Muhammad Ammar Bin Muhammad Mubarak, Airyn Suraya Binti Azhar, Muaz Akeed Bin Nurul Syairazi, Vaishneve A/P Balamurugan, Nche Qamayra Ryha Binti Hazra, dan Annur Afiqah Binti Ahmad Saufi. Penglibatan murid-murid ini memberi peluang keemasan kepada mereka untuk mempelajari teknik mewarna dan melukis berskala besar daripada abang dan kakak mahasiswa.

Projek ini diselaraskan oleh En. Savia A/L Ramachandran (Ketua Panitia PSV) dan Pn. Nurul Sharina Binti Saif (Guru PSV). Menurut pihak penganjur, kolaborasi ini bukan sahaja bertujuan untuk menceriakan persekitaran sekolah, malah sebagai medium pendedahan kepada murid-murid tentang kerjaya dalam bidang seni bina serta kepentingan estetika dalam ruang komuniti.

Hasil kerja keras mahasiswa UTM dan murid SKTMR sepanjang hari ini telah meninggalkan impak yang cukup besar terhadap landskap sekolah. Projek mural ini menjadi bukti keberkesanan jalinan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam memperkasakan bakat seni serta menghargai sambutan Hari Seni Bina Sedunia dengan pengisian yang bermanfaat.

Link Google Photo:
https://photos.app.goo.gl/9yvwDgg9WbvXM2mr8

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *