TERIMA WARGA BAHARU: TAKLIMAT DAN PENDAFTARAN PRASEKOLAH SESI 2026 BERLANGSUNG LANCAR

SKUDAI, 6 Disember – Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini (SKTMR) terus memperkukuh persediaan awal bagi kalendar akademik akan datang melalui penganjuran Taklimat Ibu Bapa dan Pendaftaran Murid Prasekolah bagi Sesi 2026. Program yang diadakan secara serentak dengan pendaftaran Tahun 1 itu memfokuskan kepada persediaan murid-murid paling bongsu yang bakal memulakan langkah pertama mereka di alam persekolahan formal.

Sesi yang bermula seawal jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 10:30 pagi itu dikendalikan oleh barisan pendidik prasekolah yang berdedikasi, iaitu Madam Emily, Cikgu Syikin, dan Puan Asza. Kehadiran ibu bapa yang memenuhi ruang taklimat menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap pendidikan awal kanak-kanak, terutama dalam memahami modul pembelajaran dan rutin harian yang bakal dilalui oleh anak-anak mereka.

Antara intipati utama taklimat tersebut merangkumi pengenalan kepada Kurikulum Persekolahan Prasekolah 2026 aspek keselamatan murid di kawasan sekolah, serta penyelarasan mengenai keperluan pakaian seragam dan penyediaan makanan sihat di sekolah. Selain itu, urusan pendaftaran dokumen juga dilakukan bagi memastikan proses kemasukan pada awal tahun hadapan berjalan sistematik tanpa sebarang kesulitan administratif.

Pihak sekolah menegaskan bahawa pendidikan prasekolah adalah fasa kritikal bagi membina asas sahsiah dan sosial murid sebelum beralih ke arus perdana. Melalui kerjasama erat antara guru dan ibu bapa yang dijalin sejak hari pendaftaran ini, SKTMR optimis dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, ceria, dan selamat buat semua murid prasekolah bagi sesi 2026 nanti.

Pautan album gambar :
https://photos.app.goo.gl/TqcRJUtLGE5ioV2J7

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *