DIALOG PRESTASI KEHADIRAN: SKTMR BENTANG STRATEGI BAHARU SASAR KEHADIRAN 95% DENGAN INTERVENSI BERFOKUS

JOHOR BAHRU, 25 NOVEMBER 2025 – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mutiara Rini telah menyertai Dialog Prestasi Kehadiran Sekolah Berfokus (Kehadiran) bagi Sekolah Rendah Daerah Johor Bahru Tahun 2025 bagi membentangkan analisis prestasi kehadiran dan intervensi yang dirancang untuk mencapai sasaran kehadiran 95%.

Dialog penting ini dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru pada hari Selasa, 25 November 2025, bermula jam 8:00 pagi, bertempat di SK Taman Perling, Johor Bahru.

Delegasi SKTMR yang terlibat dalam pembentangan tersebut terdiri daripada:

  1. Cikgu Mohd Faruze bin Iberahim, Guru Besar
  2. Cikgu Nur Umairah binti Mazhar
  3. Cikgu Amirah Syairah binti Ainan

Analisis Kehadiran dan Tindakan Pembetulan

Analisis kehadiran menunjukkan bahawa bagi tempoh Mac hingga Oktober 2025, kadar kehadiran SKTMR adalah 93.58% (890 daripada 951 murid). Angka ini menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 0.34% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024, dan masih jauh daripada sasaran 95% yang ditetapkan.

Sehubungan itu, pihak sekolah merancang untuk beralih daripada intervensi secara umum kepada intervensi berfokus kepada 60 murid yang secara konsisten tidak hadir setiap bulan. Antara cadangan intervensi yang diperkenalkan ialah:

  • DAILY CHECK-IN: Setiap murid berfokus perlu membuat “check-in” setiap pagi dengan guru kelas atau kaunselor untuk rekod kehadiran, menerima dorongan ringkas, dan memastikan pemantauan rapi bagi murid berisiko tinggi.
  • CILIK SUPER DOA: Setiap pelajar diberikan peranan serta tanggungjawab untuk membaca doa di tapak perhimpunan seperti doa sebelum masuk ke kelas dan doa selepas makan, bertujuan membina rasa tanggungjawab dan kepunyaan.
  • ATTENDANCE PASSPORT: Setiap murid berfokus akan diberikan kad kecil dan pelekat ganjaran bagi meningkatkan motivasi untuk hadir ke sekolah melalui pemantauan harian dan ganjaran kecil yang konsisten.
  • SESI BIMBINGAN KAUNSELING: Intervensi ini dilakukan untuk mengenal pasti punca murid kerap ponteng, memberi bimbingan tentang kepentingan hadir, dan membantu murid menetapkan matlamat kehadiran mingguan.
  • KONSULTASI BERSAMA IBU BAPA: Pihak sekolah turut merancang konsultasi berkala bagi membincangkan punca kehadiran rendah, mendapatkan sokongan keluarga, serta merangka tindakan bersama untuk memastikan murid hadir ke sekolah dengan lebih konsisten.

Intervensi berfokus ini diharapkan dapat meningkatkan kehadiran secara berkesan dan membantu SK Taman Mutiara Rini mencapai sasaran 95% pada sesi persekolahan akan datang.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *