SK TMN MUTIARA RINI DOMINASI LAWAN PEDANG JOHOR

BATU PAHAT, 6 OKTOBER – Murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mutiara Rini, Skudai, mencipta kejutan besar apabila berjaya merangkul dua gelaran juara utama dalam Grand Final Southern Fencing Series 2025 Peringkat Negeri Johor yang berakhir kelmarin.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Lawan Pedang Negeri Johor (JFA) di Batu Pahat Mall pada 4 dan 5 Oktober itu menyaksikan wakil SKTMR membolot gelaran juara bagi kategori Sabre dan Epee lelaki bawah 12 tahun (U12).

Ketua Kontinjen SKTMR, yang enggan dinamakan, berkata kejayaan ini adalah hasil disiplin tinggi dan latihan berterusan yang dijalankan oleh atlet-atlet muda sekolah itu.

“Kami sangat bangga dengan semangat juang dan fokus yang ditunjukkan oleh anak-anak. Menang dua kategori utama di peringkat Grand Final adalah pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Juara Berganda U12

Bintang utama yang mencuri tumpuan ialah Muhammad Riff Hazeem bin Mohd Syihan (5 Sapphire) yang dinobatkan sebagai Juara Kategori Sabre Lelaki Bawah 12 Tahun.

Tidak ketinggalan, Ahmad Zaheerullah bin Ahmad Sabri (5 Ruby) pula cemerlang menguasai gelanggang untuk merangkul gelaran Juara Kategori Epee Lelaki Bawah 12 Tahun.

Seorang lagi wakil sekolah, Ayra Fatimah binti Mohd Fadzli (2 Ruby), yang bertanding dalam kategori Bawah 10 Tahun, turut menunjukkan potensi besar dengan menamatkan saingan di tempat kelima.

Pencapaian cemerlang ini diharap dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai murid di Johor untuk menceburi sukan lawan pedang dan menjadi pelapis sukan negara.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *