MENGINTEGRASIKAN EKOSISTEM DIGITAL: SKTMR JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA SKOOLBEEZ

SKUDAI, 5 NOVEMBER – SK Taman Mutiara Rini (SKTMR) terus mengukuhkan komitmennya dalam agenda transformasi pendidikan melalui sesi Jaringan Transformasi Digital PSS bersama SkoolBeez. Pertemuan strategik ini telah berlangsung dengan jayanya di Mindroom, SKTMR bermula jam 2:30 hingga 3:30 petang.

Sesi libat urus ini dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi sekolah, Cikgu Mohd Faruze bin Iberahim (Guru Besar) dan Cikgu Noor Hasimah binti Hassan, bersama wakil daripada Bit Extreme Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Alishamuddin bin Enjom serta Pegawai Pemasaran, Encik Muhamad Haris bin Rosman.

SkoolBeez merupakan platform sekolah digital moden yang direka untuk memperkemas pentadbiran dan operasi sekolah dalam satu ekosistem bersepadu. Melalui platform ini, SKTMR berhasrat untuk mengukuhkan penglibatan antara guru, murid, dan ibu bapa melalui pelbagai modul praktikal, antaranya:

  • Pengurusan PSS & NILAM Digital: Memudahkan pengesanan bacaan NILAM secara atas talian dan pengurusan inventori Pusat Sumber yang lebih sistematik.
  • Kad Pelajar Pintar: Penggunaan teknologi kad bagi pengesanan kehadiran dan transaksi digital.
  • Ekosistem Kitar Semula & Kokurikulum: Memantau penglibatan murid dalam aktiviti kelestarian dan pencapaian kokurikulum secara telus.
  • CoopMart & CafeMart: Mendigitaliskan pengurusan koperasi dan kafeteria sekolah untuk kecekapan operasi.

Guru Besar SKTMR, Cikgu Mohd Faruze, menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah proaktif dalam menyokong perjalanan digital sekolah yang lancar. Dengan reka bentuk platform yang berskala, SkoolBeez dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sambil memastikan pembelajaran dan operasi sekolah bersatu di bawah satu bumbung digital.

Sinergi antara SKTMR dan Bit Extreme Sdn. Bhd. ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada budaya kerja digital yang lebih berintegriti, telus, dan kolaboratif demi kecemerlangan warga “Tamuri”.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *